Path to Islam: Elsie Jian

Former Christian from Sarawak Elsie Jian hopes to share the knowledge on Islam.


Nur Athirah Elsie korban kerjaya demi ilmu agama

Oleh Zuarida Mohyin



NUR Athirah termenung panjang. Fikirannya menerawang mengingat kepada lima remaja Islam yang baru dilintasi tadi.

Entahlah, hatinya jadi tidak keharuan. Pelbagai perasaan silih berganti dalam sanubarinya. Ada rasa geram, marah dan sedih.

Kadang-kadang dipujuk hatinya supaya banyakkan beristighfar dan mohon perlindungan Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Namun, ada ketikanya, perasaan itu datang kembali.

Begitulah rintihan hati Nur Athirah Elsie Jian, 37, lebih-lebih lagi semenjak mengucap dua kalimah syahadah kira-kira lima tahun lalu.

Bukan kehendak hatinya untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak terutamanya mereka yang dilahirkan Muslim. Tetapi itulah hakikatnya.

Nur Athirah selalu bermonolog di dalam dirinya. Mengapa ini berlaku? Tidakkah mereka sedar perbuatan mereka memberi imej buruk kepada agama Islam? Tak takutkah mereka kepada Allah dan hari pembalasan? dan apa yang mampu aku lakukan, Ya Allah?

Semuanya rentetan daripada sikap alpa serta mengambil kesempatan terhadap rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan selama ini.

Sedangkan telah banyak dilihat daripada lipatan sejarah umat terdahulu tentang bala yang Allah turunkan akibat kemungkaran yang dilakukan.

Lantaran itu, anak kelahiran Serian, Sarawak ini meletakkan syarat untuk tidak memeluk agama Islam selagi belum mengenali dan memahami agama tersebut.

Meskipun akui Nur Athirah, agama Islam bukanlah asing bagi dirinya kerana sebagai anak seorang anggota tentera, pergaulan dengan masyarakat Melayu Islam sedikit sebanyak mendedahkannya kepada agama anutan majoriti umat Islam di negara ini.

Apatah lagi, beliau tidak mahu dituduh bergelar Muslim kerana hendak berkahwin atau pelbagai tohmahan yang lumrah dilemparkan kepada golongan mualaf.

Minat

Sebenarnya, Nur Athirah tertarik dengan agama Islam sejak dahulu tetapi pada masa yang sama beliau aktif dengan kerja-kerja di gereja sebagai pengikut setia agama Kristian. Sayangnya, mungkin tidak bertemu dengan orang yang dapat menerangkan tentang Islam secara tepat dan betul menyebabkan minatnya berkubur begitu sahaja.

“Namun pada 2001 apabila mula berkenalan dengan suami, kami mula mengikuti kelas pengajian Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

“Alhamdulillah, tidak sampai setahun segalanya jelas kini. Bagi saya, Islam itu cukup lengkap dan amat cantik. Yang merosakkan imej agama Islam ini adalah segelintir umat Islam yang tidak memahami dan menghayati seterusnya mempraktikkannya,” katanya.

Sebab itulah beliau sanggup melepaskan pekerjaan tetap dalam bidang perhotelan demi menumpukan sepenuh masa menimba ilmu fardu ain dan fardu kifayah.

“Sekurang-kurangnya, dengan ilmu yang sedikit yang ada di dada dapat dikongsikan bersama keluarga dan masyarakat Islam,” cerita Nur Athirah semasa ditemui di Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nur Athirah yang mendirikan rumah tangga dengan bapa tunggal beranak dua, Mohd. Ramli Jelani, 43, pada 2002 bersyukur diketemukan jodoh dengan pasangan hidup yang begitu memahami, sentiasa menyokong dan memberi restu untuknya menuntut ilmu. Di samping itu, keluarga mentua, teman-teman dan tenaga pengajar di kelas juga banyak membantu.

Malah katanya lagi, mereka pernah bersama-sama belajar agama di Perkim. Cuma apabila mula mengikuti kelas agama di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Pusat Islam, Nur Athirah lebih serius memandangkan dia sudah berhenti kerja.

“Semakin lama saya belajar, rupa-rupanya masih banyak yang saya rasakan kurang. Sebenarnya, Islam itu mudah tetapi umatnya yang menyusahkan.

“Bagi saya apabila sesuatu amalan itu kita faham bukan sahaja yang tersurat tetapi tersirat, benda yang susah pun jadi senang. Contohnya, bertudung, ramai wanita Islam berat untuk melaksanakan perintah Allah ini tetapi apabila kita tahu manfaat di sebaliknya, kerelaan itu datang dengan sendirinya tanpa perlu kepada paksaan atau rasa terpaksa,” jelasnya.

Malah, sehingga satu peringkat perasaan berkobar-kobar untuk melakukan ibadat lahir dalam diri. Itulah kepuasan yang paling indah dirasai apabila sesuatu ibadah itu dapat disempurnakan dengan ikhlas, penuh kesabaran dan akan hadir rasa ketenangan.

“Saya masih ingat bagaimana melakukan ibadat puasa, solat terawih sedangkan diri baru memeluk Islam. Tetapi apabila itu semua berjaya diharungi, kepuasannya tiada tolok bandingan,” akui anak sulong daripada enam adik-beradik ini berkongsi cabaran pertama selepas mengucap dua kalimah syahadah.

Nur Athirah juga menganggap dirinya bertuah kerana sewaktu menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengan lelaki Melayu serta bertukar agama, tidak timbul tentangan hebat terutamanya daripada datuk. Ini kerana bagi masyarakat Bidayuh, restu daripada datuk mengatasi kuasa ibu bapa. Ditambah pula, pandangan mereka kepada Islam sebelum-sebelum ini, banyak yang negatif berbanding positif.

Pinta Nur Athirah, umat Islam tidak kira mualaf atau yang dilahirkan Islam harus sentiasa mempertingkatkan ilmu agama. Malah beliau selalu berdoa agar dipermudahkan dalam urusan menimba ilmu.

Tuntutan

“Malangnya kini, orang bukan Islam selalunya melihat kepada penganut agama Islam dan melabelkan Islam itu ganas, tidak bermoral dan banyak lagi.

“Tetapi, jika semua umat Islam terpanggil untuk melakukan sebagaimana tuntutan Islam, insya-Allah imej Islam akan kembali disanjungi dan diterima sebagai agama sejagat serta sesuai dengan fitrah manusia,” tambahnya.

Nur Athirah berkata, ramai yang bertanya mengapa beliau memilih Islam sedangkan segelintir umat Islam itu sendiri tidak menghargainya?

“Saya suka menjelaskan bahawa Islam itu terlalu indah bagi mereka yang memahaminya. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Janganlah kita mengambil kesempatan daripada kurniaan Ilahi dengan tidak berusaha memikul amanah Allah sebagai khalifah di muka bumi.

“Kelak kita akan dipersoalkan di kemudian hari,” pesan Nur Athirah kepada dirinya dan umat Islam lain.

Peluang menunaikan umrah selama dua minggu atas tajaan Jawi pada penghujung Ogos tahun lalu merupakan pengalaman paling bermakna dan pemangkin semangat menjadi Muslim sejati.

Cita-citanya, semoga ilmu yang ada itu dapat disebarkan kepada orang lain.


Source: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

No comments:

Post a Comment